Great Eastern dan OCBC Bank tawar Insurans Hayat Universal

KUALA LUMPUR 3 Mei 2011 – OCBC Bank (Malaysia) Bhd. (OCBC Bank) dan Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Bhd. (Great Eastern) bekerjasama untuk menawarkan Insurans Hayat Universal kepada golongan kaya.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, skim insurans perancangan harta pusaka itu disasarkan kepada golongan berada yang mahukan pendekatan yang lebih canggih bagi perancangan dan pengagihan kekayaan.

Menurut Ketua Perkhidmatan Kewangan, OCBC Bank, Charles Sik, pelancaran pelan insurans itu membuktikan terdapatnya peningkatan permintaan terhadap perancangan pengagihan harta pusaka.

“Pengenalan produk Insurans Hayat Universal ialah satu lagi langkah ke arah mencapai matlamat tersebut.

“Ramai yang salah sangka bahawa individu kaya tidak memerlukan insurans sedangkan peninggalan harta pusaka adalah penting kepada golongan ini dan produk insurans seperti ini membantu mereka mencapai impian mereka.

Ditaja jamin oleh Great Eastern, Pelan Insurans Hayat Universal premium tunggal yang dirangka khas untuk memastikan harta pusaka pemegang polisi diserahkan kepada warisnya.

Selain itu, perkhidmatan ini juga memberikan faedah minimum terjamin 2.5 peratus setahun atas nilai akaun polisi sehingga matang apabila pemegang polisi berusia seratus tahun.

Pelanggan akan menerima sama ada jumlah asas diinsuranskan atau nilai akaun polisi apabila berlaku kematian atau kehilangan upaya penuh dan kekal.

Apabila usia mencecah 100 tahun, pelanggan akan menerima nilai akaun polisi.

“Hakikatnya, paling penting ialah ketenangan fikiran apabila mengetahui bahawa aset kewangan dan harta pusaka kita dijamin selamat untuk generasi yang akan datang,” katanya.

Sumber Utusan Malaysia

Rosazaman Sarifdin

0132626876

Leave a comment